23 May 2013

Shahrulnizam bin Abd Hamid

Shahrul Nizam bin Abd Hamid lahir dan membesar di Kampung Kota Kubang Tedoh, Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kubang Tedoh sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Seri Gunung. Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang cemerlang membolehkan beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Jitra yang merupakan antara sekolah terbaik di negeri Kedah ketika itu.

Shahrulnizam adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari sebuah kolej di Petaling Jaya dan sedang berkira-kira untuk melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Perancis. Kini beliau bekerja sebagai pegawai Sumber Manusia di sebuah syarikat multinasional di Shah Alam, Selangor.

Shahrulnizam yang juga dikenali dengan nama “Shahrul Rock” merupakan ulat buku yang membaca pelbagai genre penulisan serta mempunyai minat mendalam terhadap dunia sastera dan penulisan. Beliau melibatkan diri secara aktif dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2012. Antara aktiviti yang disertainya adalah
Bengkel Cerpen Kavyan, Baca Cerpen Siru Kambam, Baca Cerpen Siru Kambam II dan Baca Cerpen Kavyan. Shahrulnizam juga salah seorang editor bersekutu bagi kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013) dan novel Hanuman: Suara Hati (2013) serta penyelaras persembahan semasa Lawatan Penulisan Kavyan (29-30 Jun 2013).

Pada 15 Ogos 2013, Jawatankuasa Utama Kavyan melantik Shahrul menjadi AJK Khas Kavyan. Pelantikan ini berkuatkuasa 24 Ogos 2013.