Monday, 20 August 2012

Senarai Peserta Tidak Bertanggungjawab

Berikut senarai individu yang telah mendaftar nama sebagai peserta Baca Cerpen Kavyan (BCK) tetapi tidak hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sila maklum bahawa nama (nama-nama) dalam senarai di bawah tidak termasuk peserta yang telah menyatakan alasan untuk tidak hadir. Nama (nama-nama) di bawah adalah individu yang telah mendaftar sebagai peserta, telah mengesahkan penyertaan, tidak menyatakan keinginan menarik diri serta tidak menghubungi pihak Urus Setia BCK walau pada saat-saat akhir untuk menyatakan sebarang alasan bagi ketidak hadiran. Malah, sehingga kini (iaitu sehingga tarikh saudara sedang membaca maklumat ini di laman web) tidak ada sebarang penjelasan rasmi diterima oleh pihak Urus Setia BCK.


Telah dijelaskan dalam Panduan Peserta bahawa "Bagi peserta yang tidak hadir mengikut jadual yang ditetapkan (kecuali telah memberi alasan yang boleh diterima) maka akan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab. Senarai nama pasti akan dipaparkan di laman web ini mulai 16 September 2003 untuk pengetahuan umum." Maka tidak timbul soal imej sesiapa terjejas berikutan nama dipaparkan di laman ini.

Jika ada sebarang masalah, sila hubungi Uthaya Sankar SB melalui talian 012-3368142 atau e-mel uthayasb@kavyan.cjb.net. Semua pihak terbabit dinasihatkan agar tidak tersalah anggap kononnya Kavyan bertindak tidak adil kerana memaparkan nama (nama-nama) individu terbabit di sini.

Walau bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa walaupun beberapa peserta tidak dapat hadir mengikut jadual yang ditetapkan, pihak Urus Setia serta beberapa peserta telah mengisi kekosongan yang wujud. Maka, acara tetap berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Sementara itu, seorang individu (nama hanya didedahkan pada 15 Disember 2014) tergamak menyebarkan khabar angin kononnya satu “team” sedang berusaha menggagalkan BCK. “Team” berkenaan juga kononnya akan menghancurkan Uthaya Sankar SB dan Kavyan. Selepas itu, “team” berkenaan - khabarnya - akan mengangkat individu berkenaan menjadi “Penulis Bukan Melayu” paling hebat dalam “Sastera Bahasa Melayu” tanpa individu berkenaan perlu berusaha menghasilkan karya bermutu. [Wow! Hebat. Senangnya nak jadi “Sasterawan Bahasa Melayu” dengan bantuan “team” berkenaan!]

Kononnya, menurut individu berkenaan dalam usaha liciknya mematahkan semangat Urus Setia BCK, “team” berkenaan telah mendaftar hampir 25 nama sebagai peserta BCK tetapi tidak akan hadir semasa acara berlangsung. Maka diandaikan Urus Setia BCK akan kelam-kabut sehingga terbatal usaha mencipta rekod baca cerpen berterusan.

Mereka akan hancurkan awak.” Demikian kandungan salah satu SMS yang dikirim oleh individu berkenaan kepada Uthaya Sankar SB. “Kalau awak bijak, awak selamatkan Kavyan.”

Namun, sebagaimana telah terbukti, tidak timbul pula masalah hampir 25 peserta tidak hadir. Sebaliknya, beberapa peserta yang beraral untuk hadir adalah individu yang dikenali oleh Urus Setia BCK dan 100% mustahil mereka termasuk dalam “team” yang dimaksudkan.

Komunikasi individu berkenaan dengan “team” tersebut didapati berlaku melalui e-mel, SMS dan secara bersemuka sejak awal tahun 2003. Kesemua salinan asal e-mel berkenaan telah berjaya dikesan oleh pihak Kavyan. Ahli berdaftar Kavyan boleh membaca salinan e-mel berkenaan dengan datang terus ke Pejabat Kavyan selepas membuat temu janji.

Pihak yang tidak bertanggugjawab juga kembali aktif mengirim SMS (menggunakan nombor telefon bimbit lain) menjelang aktiviti Diskusi Karya Sasterawan Kaum India. Pelbagai mesej dikirim dalam usaha memburukkan nama Uthaya Sankar SB, Kavyan serta para Jawatankuasa Kavyan. Namun, berkat sokongan semua (dari dalam dan dari luar Kavyan; memandangkan Kavyan turut dikenali kelompok “Bukan Kaum India”), maka anasir negatif itu berjaya disekat - buat sementara waktu.

Tidak diketahui apa konspirasi individu berkenaan dan “team”-nya selepas ini. [BACA DI SINI] Malah, ada ketika, tidak diketahui sama ada “team” itu benar-benar wujud atau sekadar wujud dalam dunia fantasi individu berkenaan selepas membaca cerpen Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta!

Tuhan Maha Mengetahui! [BACA DI SINI]

[Catatan: Nombor telefon dan alamat e-mel di atas tidak digunakan lagi tetapi dikekalkan dalam bahan arkib ini sebagai dokumentasi. Paparan ini disalin terus daripada paparan asal memandangkan laman Geocities tidak lagi beroperasi – BACA DI SINI.]