20 Aug 2012

Panduan Peserta Baca Cerpen Kavyan

Peserta diminta mengemukakan maklumat berikut menggunakan HURUF BESAR dalam borang penyertaan semasa mendaftar di tempat acara: (1) Nama - untuk sijil penyertaan; (2) Judul cerpen yang akan dibacakan; (3) Nama penulis cerpen-cerpen berkenaan.
Sila maklum bahawa konsep first come, first served digunakan dalam memilih peserta bagi acara ini.

Antara syarat dan panduan umum bagi para peserta:

- Apabila datang ke acara pada 29 Ogos - 2 September 2003 di Galeri Shah Alam, sila mendaftar di Meja Peserta. Wakil tidak dibenarkan mengambil borang.

- Isi segala borang menggunakan HURUF BESAR yang JELAS dan TERANG dan MUDAH DIBACA. Setiap peserta akan diberi satu borang sahaja. Borang tidak boleh diganti.

- Cenderamata (jika ada) akan hanya diberi selepas borang penyertaan yang diisi dengan lengkap dan betul dikembalikan kepada Urus Setia di Meja Peserta. Wakil tidak dibenarkan.

- Setiap peserta perlu bersedia membaca cerpen mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak dibenarkan membuat pindaan pada jadual pembacaan.

- Pastikan cerpen tidak terlalu panjang. Biarlah setiap cerpen sekitar 15 minit sahaja. Kalau terlalu panjang, edit supaya panjangnya 15 minit sahaja.

- Pilih cerpen-cerpen yang sesuai bagi pembacaan.

- Cerpen mestilah karya Bahasa Malaysia dan sudah tersiar di media cetak. Media siber (internet) tidak diterima.

- Kalau bukan cerpen sendiri, saudara dinasihatkan memaklumkan kepada penulis terbabit mengenai hasrat anda membaca cerpen beliau pada Baca Cerpen Kavyan kerana setiap penulis mempunyai hak moral terhadap karyanya. Maklumkan juga bahawa tiada pembayaran royalti, honorarium atau bentuk pembayaran lain bagi karya yang dibacakan.

- Jika tidak kenal penulis berkenaan atau tidak boleh menghubungi penulis terbabit, tidak mengapa. Cuma pastikan nama pengarang disebut sebelum membaca cerpen semasa acara.

- Pastikan memakai tag semasa berada di pentas.

- Jangan beri salam atau ucapan. Terus sebut judul cerpen dan nama pengarang sebelum bacakan terus naskhah cerpen.

- Jangan ada ruang terbiar selepas pembaca sebelum saudara habis membaca dan saudara mula membaca. Sebaik sahaja pembaca sebelum saudara habis membaca, terus sebut judul, nama pengarang dan mulakan membaca teks.

- Mesti berada di tempat acara sekurang-kurangnya SATU jam (60 minit) sebelum tiba giliran saudara untuk mengisi borang penyertaan rasmi dan mendapatkan arahan terkini. Jika tidak, nama saudara akan digugurkan terus. Sebarang rayuan tidak akan dilayan.

- Kalau tersilap semasa membaca naskhah cerpen, tolong jangan berhenti atau meminta maaf. Teruskan sahaja pembacaan. Jika tidak, rekod akan terbatal.

- Kalau berlaku gangguan bekalan elektrik (lampu terpadam atau pembesar suara tidak berfungsi), JANGAN hentikan pembacaan. Begitu juga jika hujan atau kilat memancar.

- Pastikan teks difotokopi atau dicetak dengan tulisan yang besar, terang dan senang dibaca. Kalau tidak, saudara mungkin menghadapi masalah semasa membaca naskhah cerpen di pentas.

- Saudara perlu membaca sendiri naskhah cerpen. Pihak Urus Setia tidak akan menyediakannya untuk saudara.

- Peserta TIDAK dibenarkan menukar judul cerpen.

- Setiap pembaca dinasihatkan sekali lagi agar bijak memilih cerpen yang panjangnya sekitar 15 minit sahaja. Jika cerpen terlalu panjang, perlu bersedia menerima natijahnya. Misalnya, katakan cerpen pertama saudara panjangnya 20 minit. Cerpen kedua juga 20 minit. Maka, jumlah masa saudara membaca adalah 40 minit. Dengan itu, saudara akan dibenarkan membaca 2 cerpen sahaja. Baki satu cerpen hanya mungkin akan dibenarkan dibaca pada penghujung acara; itu pun jika masa mengizinkan.

- Katakanlah saudara membaca cerpen pertama pada pukul 8:00 am, 1 September 2003. Maka, cerpen kedua akan saudara baca pada sekitar pukul 9:00 am dan cerpen ketiga 10:00 am. Jadi, saudara perlu berada di Galeri Shah Alam selewat-lewatnya pukul 7:00 am dan tidak boleh meninggalkan Galeri Shah Alam sehingga pukul 11:00 am, 1 September 2003; iaitu sehingga giliran pembacaan saudara tamat.

- Kalau peserta hampir 170 orang, maka setiap peserta mungkin akan diminta membaca dua cerpen sahaja. Rujuk jadual pembacaan.

- Jika membawa bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, nasihatkan mereka supaya tidak mengganggu majlis. Minta juga supaya jaga kebersihan dan keselamatan; terutama kanak-kanak kerana ada tasik tidak jauh dari Galeri Shah Alam.

- Peserta perlu datang sendiri ke tempat acara. Penginapan TIDAK disediakan. Kesemua kos perlu ditanggung sendiri.

- Makanan dan minuman ringan disediakan oleh Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negeri Selangor untuk peserta sepanjang acara. Bagaimanapun, perlu layan diri. Urus Setia tidak ditugaskan menghidang makanan/minuman kepada sesiapa.

- Kaunter jualan minuman juga akan dibuka. Sila maklum bahawa kaunter jualan minuman ini MENJUAL minuman dan tidak memberi minuman percuma.

- Kaunter jualan buku dan cenderamata juga akan dibuka.

- Peserta yang didapati sengaja melanggar arahan dan panduan yang diberi tidak akan diberi sijil penyertaan.

- Jika ada persoalan, sila kemukakan sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003. Selepas itu, Urus Setia akan sibuk dengan tugas masing-masing dan kemungkinan besar tidak akan melayan pertanyaan saudara.

- Jika ada sebarang pertanyaan mustahak semasa acara berlangsung, hubungi Urus Setia yang boleh dikenal pasti melalui tag yang dipakai. Bagaimanapun, Urus Setia berhak untuk tidak menjawab pertanyaan anda sekiranya soalan itu sepatutnya sudah ditanya sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003.

- Jangan mengharap atau meminta supaya diberi layanan istimewa semasa acara berlangsung kerana masing-masing Urus Setia sibuk dengan tugas yang diamanahkan.

- Jangan terima arahan daripada mana-mana individu selain daripada Urus Setia yang memakai tag rasmi. Urus Setia Baca Cerpen Kavyan dan Jawatankuasa Kavyan tidak bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah berikutan tindakan saudara menerima arahan daripada mana-mana pihak lain.

- Peserta tidak dibayar. Pendaftaran peserta adalah secara sukarela. Cenderamata pula bergantung pada tajaan yang diterima.

- Setiap peserta yang layak akan diberi sijil penyertaan rasmi.

- Jika mahu menarik diri, mesti telah berbuat demikian sebelum 31 Julai 2003.

- Tidak boleh menghantar wakil sebagai pengganti!

- Bagi peserta yang tidak hadir mengikut jadual yang ditetapkan (kecuali telah memberi alasan yang boleh diterima) maka akan dianggap sebagai peserta tidak bertanggungjawab. Senarai nama pasti akan dipaparkan di laman web mulai 16 September 2003 untuk pengetahuan umum. Sekurang-kurangnya supaya pihak lain berhati-hati jika bercadang menjemput individu berkenaan ke sebarang acara.

- Lebih banyak panduan akan diberi tidak lama lagi. Panduan dan arahan tambahan juga akan diberi semasa acara di Galeri Shah Alam. Baca notis yang akan dilekat di dinding.

- Sila baca segala panduan dan syarat mutakhir yang akan dipaparkan di papan kenyataan di Galeri Shah Alam sepanjang acara. Dan patuhi arahan berkenaan.

- Saudara ada sebarang pertanyaan? Sila kemukakan melalui e-mel soalan@bacacerpen.cjb.net atau telefon 013-3913278 sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003.

[Catatan: Nombor telefon dan alamat e-mel di atas tidak digunakan lagi tetapi dikekalkan dalam bahan arkib ini sebagai dokumentasi. Paparan ini disalin terus daripada paparan asal memandangkan laman Geocities tidak lagi beroperasi – BACA DI SINI]