17 Feb 2012

Alahai, Cikgu Saleeh!

[Penulis mempunyai alasan untuk berasa amat simpati selepas membaca catatan di blog Presiden PENA.]

Pada petang 28 Ogos 2011, semasa tidur sebentar, saya bermimpi bertemu Dr Mohamed Saleeh Rahamad. Maka saya menulis sedikit catatan di blog sebagai kenang-kenangan.

Kemudian, seorang rakan menghubungi saya dan memberikan alamat blog pensyarah itu yang saya panggil “Cikgu Saleeh”.

Catatan blog itu pada Januari dan Februari 2011 banyak berkisar tentang kontroversi novel Interlok Edisi Murid (2010). Membaca dan meneliti segala catatan yang lahir dari hati ikhlas Cikgu Saleeh menimbulkan pula rasa sedih, kecewa dan simpati dalam diri saya.

Saya mengenali Cikgu Saleeh semasa saya meneruskan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1993-1998).

Cikgu Saleeh antara lain merupakan pensyarah saya bagi Kursus Penulisan Kreatif I (Cerpen). Saya masih ingat bagaimana saya menghasilkan sebuah cerpen bagi tujuan kursus. Selepas membincangkannya di kelas, Cikgu Saleeh menghulurkan borang penyertaan pertandingan cerpen dan meminta saya menyertainya.

Akur pada permintaan serta menghargai suntikan semangat yang diberikannya secara penuh ikhlas, saya mengambil bahagian. Itulah cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang menggunakan latar masa 26 Februari 1994 dan menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.

Cikgu Saleeh juga penyelia saya bagi tesis bertajuk “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998).

Semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid sedang hangat pada Januari 2011, saya masih bertugas sebagai Penolong Editor di akhbar Sinar Harian.

Saya menghubungi Cikgu Saleeh yang juga presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk mendapatkan komen dan bahan berita yang kemudian disiarkan di akhbar itu. [CONTOH]

Malah, apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bercadang menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari lalu, saya memberitahu Cikgu Saleeh bahawa saya mahu hadir sama.

“Lebih baik awak jangan hadir dalam perhimpunan Sabtu; takut sentimen,” katanya dengan nada risau dan mengambil berat pada lewat malam 13 Januari 2011.

Saya nyatakan bahawa para penulis yang dijangka hadir adalah kawan-kawan saya juga dan pasti tidak ada apa-apa yang perlu beliau risaukan.

“Tak apa; datanglah,” balas beliau akhirnya.

Saya menghadiri perhimpunan itu dan catatan pengalaman saya didokumentasikan di blog untuk rujukan umum. [BACA DI SINI]

Berbalik pada catatan di blog Cikgu Saleeh, saya dapati penggunaan bahasa beliau sangat sopan, berhemah dan terkawal; bukti keperibadian seorang ilmuan, pemimpin dan sarjana.


Dalam menangani isu royalti teks Komsas melibatkan lima penulis, misalnya, walaupun hanya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) kelihatan “bising dan buat kecoh” sejak 15 Ogos 2011, kami sebenarnya menerima sokongan padu dan bantuan menyeluruh daripada lebih 50 individu yang tidak mahu dikenali.

Begitu juga dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Kavyan dibantu lebih 50 sukarelawan pelbagai kaum dan bidang kepakaran sejak Januari 2011 untuk mengumpul data dan fakta dari pelbagai sumber bagi menguatkan hujah.

Hal yang sebaliknya berlaku kepada Cikgu Saleeh dan perkara ini jelas terungkap di blog beliau. “Biarpun tiada kawan yang datang menyokong, kami tetap akan ke Putrajaya,” beliau mencatatkan mengenai perasaan dialami pada 11 Januari 2011.

Walaupun begitu ramai individu serta banyak persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) “hadir” dalam catatan beliau, akhirnya segala kerja tetap dilakukan oleh Cikgu Saleeh secara sendirian.

Misalnya, semasa sidang media pada 8 Januari 2011, “Timbalan Presiden PENA, Amiruddin Ali Md Hanafiah segera memberi reaksi spontan yang tidak kami bincangkan pun sebelumnya. Katanya, PENA akan membuat dan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. ... Tugas membuat memorandum dan draf laporan polis terbeban di pundak saya” walaupun Cikgu Saleeh “tidak ada pengalaman langsung dalam membuat memorandum”.

Malah, perasaan saya bertambah sayu sewaktu membaca catatan beliau mengenai pengalaman membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 10 Januari 2011:

“Ini kali pertama saya membuat laporan polis tentang isu nasional. Sebelum ini saya hanya membuat laporan polis tentang kehilangan kad pengenalan dan kehilangan kasut di rumah.”

Situasi beliau pada 11 Januari 2011 pula digambarkan begini: “Saya terpaksa berfikir sendirian ketika itu kerana kawan-kawan lain tiada yang datang membantu.”

Malah, memorandum PENA jugalah yang diolah semula oleh Cikgu Saleeh sendiri menggunakan “komputer usang” di Rumah PENA “untuk disesuaikan dengan kehendak GAPENA”. Maka, semuanya usaha beliau!

Pengalaman Cikgu Saleeh “meniti batas dan titi reput” dalam isu Interlok Edisi Murid terungkap secara penuh seni dalam sajak “Perjalanan di Denai Interlok” yang dipaparkan di blog beliau pada 25 Januari 2011.

Antara lain, katanya, “terus memikul beban / seberat gunung / di denai walau sendirian” sementara “orang berlarian di sisi / mengejar sesuatu di depan” dan “melepaskan diri dari kami / yang memikul beban / sendirian”.

Sementara Cikgu Saleeh sedang bergelut dengan segala isu nasional ini, terdapat pula usaha oleh individu tertentu menabur fitnah terhadap beliau.

Individu berkenaan menelefon saya hampir setiap hari bermula 20 Disember 2010 dan mengutuk novel Interlok Edisi Murid serta kepimpinan PENA.

Kemudian, pada 23 Februari 2011, individu itu menambah dosa dengan memberitahu saya menerusi perbualan telefon bahawa dia sebenarnya “diarahkan” oleh Cikgu Saleeh untuk menghubungi saya dan “mengorek rahsia” mengenai pendirian Kavyan dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid!

“SMS awak pun saya telah forward kepada semua AJK PENA dari awal (20 Disember 2010). ... Dari awal saya menyokong Presiden PENA dan bukan anda dan persatuan anda,” katanya menerusi SMS yang masih saya simpan. [BACA LAGI DI SINI]

Saya tidak memanjangkan isu itu atau bertanya kepada Cikgu Saleeh mengenainya kerana saya tidak mahu “ambil pusing” kata-kata individu berkenaan yang mungkin menghadapi masalah peribadi.

Namun, selepas membaca catatan blog Cikgu Saleeh pada 31 Ogos 2011, saya benar-benar kasihan pada beliau. Sedang beliau bertungkus-lumus berjuang secara sendirian, seolah-olah ada pula pihak tertentu cuba mencemar nama baik beliau dan PENA.

Mungkin juga mimpi pada 28 Ogos 2011 adalah “isyarat” supaya saya memberi amaran kepada Cikgu Saleeh. Apatah lagi, pada 23 Februari 2011, individu yang menelefon saya mengaku, kononnya dia adalah salah seorang AJK PENA.

[Uthaya Sankar SB pernah dilantik menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid (Februari-Mac 2011). Artikel ini ditulis berdasarkan catatan awal dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 September 2011.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!