5 Nov 2011

Panduan Baca Cerpen Kavyan

Berikut maklumat pemarkahan bagi Baca Cerpen Kavyan 2011. Panduan ini juga boleh digunakan bagi Bengkel Baca Cerpen Kavyan dan pelbagai acara baca cerpen anjuran Kavyan seperti Baca Cerpen Kavyan 2013 - Baca Novel Hanuman - Baca Cerpen Siru Kambam. 

Pemarkahan dilakukan oleh panel yang ditetapkan oleh penganjur. Keputusan panel hakim adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Peserta yang menyertai mana-mana aktiviti Kavyan diminta patuh pada Waktu Kavyan.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau 016-3288142 (SMS tidak dibalas).

Pemarkahan Baca Cerpen Kavyan 2011 dibahagikan kepada lima pecahan iaitu:

1) Sebutan - 5 markah

2) Kelancaran dan Pemahaman - 5 markah

3) Intonasi dan Nada Pembacaan - 5 markah

4) Gaya Penyampaian Cerita - 5 markah

5) Suara dan Keyakinan Diri - 5 markah

Jumlah - 25 markah

Perincian Pecahan Pemarkahan seperti berikut:

1) Sebutan

Prinsip dan dasar sebutan baku diberi perhatian; iaitu sebutan berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan huruf, sebutan kata dan intonasi. Huruf dan fonem vokal, diftong serta konsonan juga didengar dengan teliti. Sebutan bagi kata dasar, kata terbitan, kata pinjaman, sebutan yang disengaukan serta sebutan bagi nama khas juga diperhatikan dalam memberi markah.

2) Kelancaran dan Pemahaman

Antara aspek yang dijadikan panduan adalah kemampuan peserta membaca petikan cerpen dengan lancar/berterusan, berhenti seketika pada bahagian-bahagian yang perlu mengikut kesesuaian, tempo yang sederhana (tidak terlalu laju atau terlalu perlahan), tiada gangguan semasa membaca (eh, em, ya dan sebagainya). Aspek kelancaran membaca boleh membantu mengesan sama ada peserta memahami atau tidak petikan cerpen yang dibaca.

3) Intonasi dan Nada Pembacaan

Penilaian dibuat berdasarkan faktor sama ada suara peserta sedap didengar dan menarik. Nada dan intonasi haruslah dipelbagaikan dan dikawal; misalnya nada tinggi dan bersemangat, nada perlahan, nada sederhana, nada propaganda, nada tinggi dan lantang mengikut kesesuaian.

4) Gaya Penyampaian Cerita

Cerita perlu dibacakan dengan gaya yang sesuai. Antara aspek gaya yang diperhatikan oleh penilai adalah gerak tangan, mata dan gerak badan, tidak kaku dan tidak juga beraksi berlebihan, mimik muka mengikut penekanan suara, serta memandang penonton/khalayak sesekali bagi tujuan eye-contact.

5) Suara dan Keyakinan Diri

Suara peserta mesti cukup kuat untuk didengar oleh penonton dan penilai. Peserta perlu ‘mesra mikrofon’ serta tidak gentar membaca di pentas. Peserta perlu memperlihatkan perwatakan, sikap dan pandangan yang positif serta penuh dengan keyakinan diri apabila tampil di pentas membaca petikan cerpen. Pakaian yang dipakai perlulah kemas dan sesuai dengan acara. Peserta juga perlu mengamalkan adab dan tatasusila ketika berada di pentas. Penggunaan props tidak dibenarkan kerana membazir masa, wang dan tenaga.

Nota: Keputusan panel hakim adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak dilayan. Panduan pemarkahan di atas juga boleh digunakan untuk malatih diri membuat persembahan cerpen dengan gaya menarik di pentas.
Contoh VIDEO persembahan cerpen: Yang Aneh-aneh oleh Uthaya Sankar SB - Sebuah Cerita Biasa oleh Devishi Prabha Sankari - Nating oleh Shahrul Nizam Abd Hamid - Dalam Perut Jerung Raksasa oleh Kughan Nadarajah - Krishna: Potret Diri oleh Perzeus James -