6 Aug 2010

Sasterawan Kavyan Perlu Majukan Karya

Skop penulisan yang dipilih oleh Sasterawan Kavyan masih rigid dan masih lagi dalam lingkungan serupa; masih tentang mengangkat topik yang itu-itu sahaja.
.
Pengurus Penerbitan Kumpulan Karangkraf, Sri Diah berkata, tema agama dan kepercayaan, sastera, sosial dan budaya kaum India mendominasi skop penulisan rencana oleh Sasterawan Kavyan.
.
“Saya bukan hendak mengatakan jangan menulis lagi tentang perkara berkenaan. Sebaliknya kritikan ini haruslah ditanggapi positif dan mendorong supaya Sasterawan Kavyan teruskan menulis perkara berkenaan dan pada masa yang sama banyakkan lagi tulisan mengenai perkara lain,” katanya.
.
Beliau menyatakan demikian semasa membentangkan kertas kerja pada Diskusi Sastera Kavyan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004.
.
Tegasnya, Sasterawan Kavyan harus memiliki keberanian untuk menulis tentang alam sekitar, pertentangan moden dan tradisional, termasuk juga tentang Iraq dan Amerika Syarikat.
.
Apabila Sasterawan Kavyan berjaya menulis dalam Bahasa Malaysia dengan baik, mereka tidak harus menulis cerpen atau sajak sahaja. Mereka sepatutnya menggunakan keistimewaan itu untuk mempelbagaikan skop penulisan supaya tidak terlalu stereotaip.
.
Menurut Sri Diah, sebagai penulis berwibawa, Sasterawan Kavyan perlulah berperanan lebih aktif, lebih berani dan lebih kreatif sesuai dengan kebolehan serta penguasaan bahasa yang dimiliki.
.
“Kemampuan dan komitmen Kavyan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi ahli dan bukan ahli telah membuka mata banyak pihak tentang sumbangan berterusan Sasterawan Kavyan terhadap sastera kebangsaan,” katanya.
.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Mahzan Arshad dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya melihat Sastera Kavyan sebagai model sastera pelbagai budaya di Malaysia.
.
“Hasil penulisan Sasterawan Kavyan tentang budaya, kepercayaan agama, dan segala isu berkaitan kehidupan masyarakat India di Malaysia merupakan satu perkembangan yang baru menonjol lebih kurang sedekad yang lalu.
.
“Sasterawan Kavyan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai media perantaraan dalam menyampaikan mesej kepada pembaca dan mereka berjaya menyampaikan idea mereka tentang sesuatu isu yang berkaitan kehidupan masyarakat India di negara ini dengan jelas serta berkesan,” ujarnya.
.
Bercakap menggunakan teori sastera pelbagai budaya, Dr Mahzan menjelaskan bahawa kebangkitan Sasterawan Kavyan bertolak daripada kesedaran tentang perlunya kehidupan dan pengekalan budaya dalam kalangan generasi muda kaum India di negara ini.
.
“Ironisnya, kesedaran ini timbul daripada golongan muda juga. Biasanya, yang sebaliknya berlaku, iaitu golongan tua akan mengingatkan golongan muda tentang penting pengekalan budaya sendiri.
.
“Namun, apa yang berlaku adalah golongan muda itu mengingatkan rakan yang lain tentang budaya yang mereka miliki dan pentingnya budaya itu dikekalkan dalam kehidupan ini,” jelas beliau.
.
Khalayak Sastera Kavyan bukan sahaja tertumpu kepada pembaca Melayu atau kaum lain yang ingin mengetahui tentang budaya dan kepercayaan masyarakat India di negara ini.
.
Sebaliknya, turut ditujukan kepada masyarakat India sendiri; terutama generasi muda yang mendapat pendidikan aliran kebangsaan sejak beberapa dekad belakangan ini.
.
Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB pula menjelaskan istilah “Sasterawan Kavyan” dan “Sastera Kavyan” yang diperkenalkan pada majlis ilmu berkenaan.
.
Sastera Kavyan” merujuk pada karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh “Sasterawan Kavyan” iaitu kelompok penulis kaum India di Malaysia.
.
Diskusi Sastera Kavyan anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP turut menampilkan pelakon veteran, Aziz Satar yang menceritakan mengenai penglibatan kaum India dalam industri perfileman tempatan sejak sebelum merdeka.
.
“Selain pengaruh terus dari negara India, filem tempatan juga mendapat sentuhan daripada kaum India tempatan dan wujud kerjasama padu antara seniman pelbagai kaum,” katanya.
.
Menurut Aziz, filem tempatan harus berwajah Malaysia dan menampilkan cerita masyarakat pelbagai kaum kerana itulah realiti kehidupan di Malaysia.
.
“Saya kagum dengan penguasaan bahasa kebangsaan oleh kaum India dan Cina sehingga kadang-kadang mereka lebih fasih daripada kaum Melayu.
.
“Jadi, boleh sahaja dibuat filem yang menampilkan masyarakat pelbagai kaum dan mereka berdialog dalam Bahasa Malaysia,” beliau menyarankan.
..
(S.G. Prabhawathy, Utusan Malaysia, 23 Ogos 2004) - Sila KLIK DI SINI untuk laporan Diskusi Karya Sasterawan Kaum India, 16 Disember 2003. Baca juga - Kavyan Buka Keahlian Kepada Umum.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!