17 Apr 2010

Saya Bukan Penulis Tamil

Semasa dijemput menyampaikan kertas kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 1998, saya menegur tindakan pengerusi majlis memperkenalkan saya sebagai “Penulis Tamil”. Saya melakukan pembetulan dengan membuat kenyataan bahawa saya adalah sasterawan Malaysia yang menulis dalam Bahasa Malaysia. [baca lagi]
.
Saya mempunyai pengalaman memberi ceramah serta mengendalikan bengkel penulisan dalam Bahasa Tamil. Karya saya – cerpen dan drama – diterjemah untuk siaran media cetak dan media elektronik Bahasa Tamil. Namun, saya tetap bukan Penulis Tamil.
.
Adakah saya Penulis Keturunan Tamil? Tidak juga; saya keturunan Malayalam. Penulis India? Mengkin timbul kekeliruan dengan penulis dari negara India. [baca lagi] Penulis Bukan Melayu? Penulis kaum India?
.
Ya, mungkin itulah kategori terbaik pada masa kini untuk mengklasifikasikan golongan sasterawan seperti saya: Sasterawan Kaum India.
.
Semasa mengikuti Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Perlis pada Ogos 2002, saya turut menegur sikap beberapa pengkaji sastera kebangsaan yang mengklasifikasi golongan sasterawan seperti saya sebagai “Penulis Tamil” dan/atau “Penulis Bukan Melayu”.
.
Masalah seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya telah wujud sejak penulis kaum India di negara ini mula menulis karya menggunakan bahasa kebangsaan. Munsyi Abdullah dianggap ramai sebagai penulis Melayu semata-mata kerana beliau menulis menggunakan Bahasa Melayu.
.
Pada sekitar tahun 1970-an, lahir kelompok penulis Bahasa Tamil yang mula menulis atau menterjemah karya ke Bahasa Malaysia. (Istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada tahun 1970 menggantikan istilah “Bahasa Melayu”. Kelompok ini pula selesa – atau sekurang-kurangnya tidak membantah – apabila dilabel sebagai Penulis Tamil dan/atau Penulis Bukan Melayu.
.
Lalu, pada lewat tahun 1990-an, apabila ada individu seperti saya yang cuba membetulkan kesilapan itu, pasti sahaja ada pihak yang tidak berasa senang. Apatah lagi masih terus ada penulis kaum India yang tetap selesa dan menerima sahaja apa-apa label yang dilekatkan ke dahi mereka: Penulis Tamil, Penulis Bukan Melayu, Penulis Keturunan India, Penulis Sastera Melayu, Penulis Bahasa Melayu ...
.
Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.
.
Demikian kata-kata Mahatma Gandhi yang menjadi pegangan saya. Malah, beliau juga pernah mengingatkan: Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.
.
Maka, saya sentiasa berusaha membetulkan kesilapan yang timbul dalam melabelkan golongan penulis seperti saya. Mungkin sahaja saya sendirian dalam melakukan pembetulan ini. Atau mungkin saya menerima sokongan daripada penulis lain. Itu tidak menjadi persoalan. Pengalaman semasa memperjuangkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” sejak 1999 sudah membuktikan hal ini.
.
Kini, semakin ramai mula sedar bahawa istilah yang paling sesuai untuk mengklasifikasi kelompok penulis seperti saya adalah “Penulis Kaum India”. Secara tidak langsung, istilah ini memberi suatu identiti istimewa kepada golongan sasterawan seperti saya. Kami adalah warganegara Malaysia, kaum India dan menulis sastera Bahasa Malaysia.
.
Mungkin sahaja ada yang bertanya, bagaimana dengan penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Tamil? Nah! Bukankah selama ini mereka selesa dengan istilah “Penulis Tamil”? Lalu, apa yang mahu mereka tiba-tiba ubah sekarang?
.
Kelompok Sasterawan Kaum India mempunyai keistimewaan kerana mampu menulis karya Bahasa Malaysia tanpa menggadai jati diri sebagai individu kaum India. Mereka mampu menggambarkan citra budaya kaum India di Malaysia dalam karya Bahasa Malaysia untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia.
.
Malah, kelompok ini juga sudah membuktikan kemampuan meneroka tema dan persoalan kaum lain dalam karya yang dihasilkan. Memang ada penulis Tamil menulis cerpen Bahasa Tamil mengenai kaum Melayu/Cina tetapi hanya dapat dinikmati kelompok pembaca Tamil. Sebaliknya, karya sasterawan kaum India pula boleh dinikmati dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum yang tahu Bahasa Malaysia.
.
Apakah pula beza penulis kaum India dengan penulis (kaum) Melayu yang turut menulis karya Bahasa Malaysia? Sekiranya karya Bahasa Malaysia (atau dulu ‘Bahasa Melayu’) oleh penulis kaum Melayu diteliti, akan jelas bahawa hanya terdapat beberapa kerat penulis yang mampu melukiskan citra budaya dan pemikiran kaum “Bukan Melayu” dalam karya yang mereka hasilkan.
.
Tindakan saya memperkatakan kelebihan kelompok sasterawan kaum India tidak sekali-kali bertujuan memperkecilkan kedudukan dan ‘kehebatan’ penulis Tamil yang menulis karya Bahasa Tamil dan penulis Melayu yang menulis karya Bahasa Malaysia. Sebaliknya semata-mata untuk menunjukkan keistimewaan kelompok sasterawan kaum India di Malaysia.
.
Saya juga tidak menghalang kelompok yang menghasilkan karya Bahasa Tamil. Sebaliknya saya akan berasa gembira jika kelompok itu turut cuba menulis karya Bahasa Malaysia. Malah, kelompok sasterawan kaum India juga boleh menulis karya Bahasa Tamil berbekalkan ilmu dan pengalaman menulis karya Bahasa Malaysia.
.
Saya biarkan anda renungkan realiti ini.
..
[Teks yang diedarkan sempena Ceramah Penghayatan Sastera anjuran Persatuan Bahasa Tamil Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong pada 26 April 2003. Kemudian disiarkan dalam Kavya Mei 2003; ArahKiri 15 Mei 2003 dan Siasah* Jun 2003 (*dengan judul “Penulis Tamil: Label yang dilekat ke dahi”)]

Nota: Dalam Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996 yang diumumkan pada 31 Julai 1997, misalnya, cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” menang hadiah kedua, dan akhbar New Straits Times (6 Ogos 1997) melaporkan bahawa “an entry  which would have been originally eligible for for consideration in the category for non-Malays was instead awarded the overall second prize” kerana “according to the organisers, ‘it is of a quality well above those in the non-Malay category’.”

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!