17 Apr 2010

Ceramah Penghayatan Sastera

Seramai 45 ahli Persatuan Bahasa Tamil, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong mengikuti Ceramah Penghayatan Sastera di sekolah berkenaan pada 26 April 2003. Ceramah disampaikan oleh Presiden Kavyan dan Sasterawan Bahasa Malaysia, Uthaya Sankar SB yang diundang khas oleh penganjur.

Cikgu Anbarasu dalam ucapan alu-aluan beliau memuji minat yang ditunjukkan oleh para peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu dan Dua serta beberapa pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

“Anda perlu ingat bahawa anda semua sangat beruntung berbanding rakan-rakan anda yang tidak menghadiri aktiviti ini,” kata beliau. “Bukanlah mudah untuk mendapat peluang bertemu dan berkongsi pengetahuan dengan seorang sasterawan terkemuka.”

“Kita perlu ingat bahawa Persatuan Bahasa Tamil tidak semestinya mengadakan aktiviti berkaitan Bahasa Tamil sahaja. Kita berbangga kerana berpeluang menjemput saudara Uthaya Sankar SB yang merupakan sasterawan yang disegani di negara kita,” tambah Cikgu Anbarasu.

Beliau turut mengingatkan para peserta bahawa sumbangan penulis kaum India dalam sastera bahasa kebangsaan bukan sesuatu yang baru. Munsyi Abdullah yang dinobatkan sebagai Bapa Kesusasteraan sebenarnya pengarang kaum India. Sumbangan beliau memang tidak boleh dipertikaikan.

Cikgu Anbarasu turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa penulis kaum India yang aktif menulis karya bahasa kebangsaan pada tahun 1960-an dan 1970-an; khususnya selepas istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan.

Bagaimanapun, kata beliau, kewujudan penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia tidak terasa pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an. Hanya pada akhir 1980-an dan awal 1990-an muncul dua pengarang yang berjaya mengangkat martabat karya sastera Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India.

Ternyata Cikgu Anbarasu memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai topik yang beliau berkatakan. Ucapan beliau juga mampu memberi motivasi kepada para peserta untuk turut terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia.

Seterusnya, Cikgu Raja Rajeswari Seetha Raman menceritakan serba-sedikit mengenai latar belakang penulisan Uthaya Sankar SB. Sebagai salah seorang rakan kepada sasterawan serta pengkaji karya-karya sasterawan berkenaan bagi tujuan tesis sarjana, Cikgu Rajes mampu memberi penjelasan yang amat mendalam.

“Uthaya Sankar SB tidak pernah mementingkan diri sendiri dalam bidang penulisan. Beliau sentiasa cuba membimbing bakat-bakat baru melalui pelbagai aktiviti Kavyan. Jadi, anda semua harus menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk menimba ilmu daripada beliau,” kata Cikgu Rajes yang juga merupakan guru Bahasa Malaysia di sekolah berkenaan.

“Sasterawan ini berjaya menggambarkan permasalahan hidup dan citra budaya kaum India dengan penuh jaya dalam karya sastera Bahasa Malaysia untuk tatapan umum. Malah setiap karya beliau saling berkaitan dan amat menarik untuk dikaji atau sekadar dibaca dengan penuh minat,” beliau menyimpulkan.

Penasihat persatuan, Cikgu Thava pula dalam ucapan ringkas beliau melahirkan rasa gembira dan terhutang budi atas kesudian Uthaya Sankar SB memenuhi undangan memberi ceramah.

“Mungkin satu cara untuk kita membalas budi beliau adalah dengan memberi tumpuan pada ceramah beliau serta cuba menulis karya bermutu,” kata beliau kepada para peserta.

Uthaya Sankar SB berceramah menggunakan Bahasa Tamil, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Beliau bermula dengan bertanyakan sama ada para peserta berminat membaca karya sastera dan/atau menulis karya sastera.

“Kalau anda tidak mahu menjadi penulis pun tidak mengapa,” kata beliau kepada para peserta. “Asalkan selepas ceramah ini, anda berminat membaca karya sastera, itu sudah memadai. Tapi tentulah lebih baik jika muncul sekurang-kurangnya seorang penulis daripada kumpulan ini.”

Topik yang diperkatakan adalah mengenai unsur-unsur sastera iaitu hiburan, emosi, imaginasi, didaktik, teknik dan intelek. Penceramah mengambil contoh daripada beberapa filem Tamil terbaru untuk memudahkan para peserta memahami dan menghayati makna setiap unsur yang diperkatakan. Antara filem yang dijadikan contoh ialah Dhool, Abne Sivam dan Aalavanthan.

“Saya harap penerangan mengenai unsur-unsur sastera ini akan membantu anda menghayati teks komponen sastera (Komsas) serta memudahkan anda menjawab soalan peperiksaan,” Uthaya Sankar SB menyatakan.

Pada peringkat awal, para peserta kurang terlibat. Keadaan ini berlaku bukan kerana mereka tidak berminat. Sebaliknya adalah kerana masing-masing kagum dan hormat pada sasterawan yang hadir sebagai penceramah. Tambahan, beliau juga seorang pensyarah kolej swasta.

Bagaimanapun, keupayaan penceramah menyelitkan unsur hiburan membuatkan para peserta lebih yakin dan tidak teragak-agak untuk terlibat dalam sesi ceramah. Mereka mula terlibat secara aktif dengan sama ada bertanya soalan atau menjawab pertanyaan penceramah.

Para peserta diberi masa untuk membaca bahan-bahan yang diedarkan lebih awal. Edaran termasuk maklumat ringkas sasterawan kaum India, cerpen “Kathakali”, cerita bersiri “Perjuangan Berterusan”, biodata Uthaya Sankar SB, sajak tiga bahasa karya Uthaya Sankar SB dan teks bertajuk “Saya Bukan Penulis Tamil”.

Pada sesi kedua, penceramah membicarakan mengenai kelebihan dan keistimewaan kelompok sasterawan kaum India. Turut dibincangkan tujuan seseorang ingin menjadi penulis. Uthaya Sankar SB juga memberikan pautan (link) beberapa laman web yang sangat berguna untuk rujukan para peserta.

Seterusnya para peserta diberi tugas berkumpulan. Setiap kumpulan diminta meneliti cerpen “Kathakali” atau cerita bersiri “Perjuangan Berterusan” dan mengemukakan komen berdasarkan perkara-perkara yang telah mereka pelajari dalam ceramah.

Rata-rata para peserta mempamerkan penghayatan yang membanggakan. Mereka mampu membicarakan teks kajian dengan cukup menarik. Jadi, tidak sia-sialah ceramah yang dianjurkan. Pelajar kaum India yang menyertai ceramah ini juga diyakini akan lebih meminati komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Sebaik sahaja ceramah tamat, para peserta tidak melepaskan peluang mendapatkan autograf sasterawan. Mereka juga melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu seorang sasterawan yang terkenal dan disegani.

Secara keseluruhan, ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Tamil, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong berjaya mencapai objektif. Para peserta berpeluang bertemu dan menimba ilmu daripada sasterawan. Mereka juga ternyata lebih berminat untuk membaca karya sastera Bahasa Malaysia. Tidak mustahil akan lahir penulis muda daripada kelompok ini dalam masa terdekat!

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!