7 Mar 2010

Dr Anwar Ridhwan

Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan dilahirkan sebagai Mohd Anuar Rethwan pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor. Beliau mendapat pendidikan di SK Sungai Besar (1956-1962), Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967), Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968-1969) dan Universiti Malaya (BA-1973, MA-1983, Ph.D-1998) serta bertugas di DBP sejak Mei 1973.
Dr Anwar antara lain pernah mengikuti kursus penerbitan buku di Amerika Syarikat (1982), International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat (1986), Pertemuan Puisi Dunia di Struga, Yugoslavia (1988), tetamu Persatuan Penulis Soviet (1988) dan profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000).
Dari 2001 hingga bersara pada 2005, beliau bertugas sebagai Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kini, Dekan Fakulti Penulisan Aswara.
Karya kreatif Dr Anwar termasuk Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Arus (1985), Tercipta Dari Tanah (1985), Sangkar (1986), Di Negeri Belalang (1989), Orang-orang Kecil (1990), Yang Menjelma dan Menghilang (1992) dan Naratif Ogonshoto (2001). Karya-karya beliau diterjemah ke dalam lebih 15 bahasa dunia.
Beliau juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (2002), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1971, 1973, 1976, 1982/83, 1984/85, 1992/93, 2002/03), Hadiah Sastera Mastera (2002) dan Anugerah Sastera Negara (2009).
Dr Anwar merupakan Penasihat Kehormat Kumpulan Sasterawan Kavyan dari 2003 hingga 2007. Baca kisah penuh DI SINI.
Acara Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan dianjurkan pada 15 Mei 2004 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam dunia sastera kebangsaan.
Acara Jom Kenali Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Mac 2010.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!