28 Nov 2009

Uthaya Sankar SB — Biodata (BM)

[For English version, CLICK HERE]

“Uthaya Sankar SB merupakan penulis muda berbakat.” – Othman Puteh, Siru Kambam (1996)

“He would do well as a stand-up comedian.” – Daphne Lee, The Star, 19 June 2011

“Penulis muda berbakat yang telah membawa pembaharuan dalam sejarah perkembangan cerpen Bahasa Malaysia.” Raja Rajeswari, Berita Harian, 6 Februari 1999

“It is a known fact that Uthaya Sankar SB is one of the few active non-Malay writers known in the Malay literary circle.” Bissme S, The Sun, 13 March 1999

“Dia amat menyanjung tinggi kelompok audiens yang bermentaliti tinggi dan menghargai karya bijak.” Othman Puteh, Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V, 8-10 Mei 2001

“His works are meant for the thinking reader.” Dina Zaman, New Straits Times, 4 July 2001

“Beliau mahu menjadikan karya sebagai wahana untuk mengetengahkan budaya dan pemikiran masyarakat India untuk diterima oleh masyarakat Malaysia.” Ahmad Muhammad, Berita Harian, 2 November 2001

“He is one of our brightest literary stars.” Amir Muhammad, The Edge, 19 November 2001

Pada April 2011, berikutan tindakan Uthaya menegaskan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik setiap warganegara Malaysia, Subari Ahmad mencadangkan di Facebook supaya “hantar saja sidia tu ke ISA kerana cuba menggugat ketenteraman rakyat di negara ini”.

Fadli al-Akiti pula merujuk kepada Uthaya sebagai “lelaki infamous buat masa sekarang buat segolongan sasterawan” sewaktu mengulas e-book Semangkuk Interlok pada 5 Mei 2011.

Pada penelitian Roslan Jomel, “Di luar sana, nama Uthaya Sankar SB sedang menjadi sebutan. Dia adalah public figure. Profil dan prinsipnya dipalit dengan pelbagai kontroversi yang sedia dimaklum oleh golongan karyawan, bahkan golongan akademik dan budayawan. Ini kerana segala usaha dan tindakan yang cuba diusahakan Uthaya Sankar SB seolah-olah layaknya seorang politikus.” (18 September 2011)

Menurut Roslan Jomel juga, "Sama ada dibenci atau disuka, Uthaya Sankar SB memilih prinsip yang diyakininya."


Uthaya Sankar SB merupakan nama yang tidak asing dalam dunia sastera Malaysia. Sasterawan Malaysia ini juga pernah menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Negeri kelahirannya sering menjadi latar dalam karyanya. .. Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menyerlah selepas menyertai Minggu Penulis Ramaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berpengalaman luas sebagai pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), HELP Institute, Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT), The One Academy, Yamaha Academy of Arts & Music, Kolej Prime USJ, Kolej Antarabangsa MSC, Kolej Antarabangsa Summit, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej Optima; penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia), penyampai berita TV (Bahasa Malaysia), pengulas segmen Akhbar Hari Ini dan Penyelia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Radio Televisyen Malaysia (RTM); serta penyunting berita di Bernama Radio24.

Berhijrah ke Kumpulan Media Karangkraf sebagai subgrafik kanan akhbar Sinar Harian pada 1 Februari 2010 dan bermula 1 Jun 2010, dilantik Ketua Meja Global. Bermula 18 Oktober 2010, dilantik Penolong Editor Nasional. Akhirnya berhenti pada hujung Februari 2011 selepas menyedari pelbagai kepincangan yang berlaku.

Bermula 1 Mac 2011, beliau menawarkan khidmat sebagai Tenaga Profesional Bebas dan pada 29 Mac 2011, menubuhkan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya's Media, Motivation and Publication Consultancy). Uthaya merupakan jurulatih bertauliah yang diiktiraf Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB/HRDF).

Beliau menjadi kolumnis mingguan di Free Malaysia Today (mulai Januari 2011) dan The Malaysian Insider (mulai Julai 2009) selain mengendalikan ruangan Ulasan Buku di kedua-dua portal berita berkenaan sebagai usaha Kavyan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Turut menulis di Projek Dialog (mulai September 2012) berkenaan isu-isu minoriti dan silang-budaya; di Roketkini (mulai Januari 2013) mengenai isu-isu seni dan budaya; serta di The Malay Mail Online (mulai Julai 2013) mengenai isu-isu seni dan sastera.

Buku Malaiur Manikam (2015) adalah kumpulan esei sulung pengarang ini. Penyokong The Patriots berkempen di media sosial mendesak supaya buku berkenaan diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kumpulan esei Mandala Bicara (2016) pula memuatkan secara khusus esei-esei berkaitan budaya kaum India.

Uthaya Sankar SB juga berpengalaman luas sebagai pengacara majlis, penceramah, moderator, fasilitator, pemudah cara, penterjemah dan pembimbing dalam pelbagai acara peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. ..

Beliau turut dilantik Fasilitator Kelab Membaca Sinar Pintar yang dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Reading Club yang dikendalikan oleh Lifelong Learning Center, MCA.

Uthaya Sankar SB - antara lain - pernah menerima undangan menyertai Program Penataran Sastera MASTERA di Indonesia (Oktober 1997), Malaysian Literature and Cultural Studies Conference di Singapura (Oktober 2004), Writers Unlimited Tour di Kuala Lumpur (Jun 2011), Ubud Writers & Readers Festival di Bali (Oktober 2011) dan World Tamil Writers Conference di Singapura (Oktober 2011).

Minat untuk menulis cerpen timbul lantaran rasa mual sewaktu beliau membaca karya-karya klise yang termuat dalam antologi cerpen remaja yang terbit sebelum 1988. Baginya, penulis perlu menghormati minda dan intelektualiti pembaca. . Uthaya Sankar SB yakin bahawa hanya orang yang tahu menggunakan otak akan membaca karyanya. Jadi, beliau mahu menghormati minda dan intelektualiti mereka. Itulah sebabnya beliau tidak gemar menulis cerpen yang terlalu konvensional. . Karya Uthaya Sankar SB pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003). .

Penerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada 24 Ogos 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. .

Uthaya mula dilabel sebagai "anti-Melayu" selepas terlibat mendedahkan fakta dan kebenaran dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid mulai Januari 2011 dan isu royalti teks Komsas mulai Ogos 2011. Malah, ada "tokoh lidah bercabang" menyebarkan fitnah dan SMS dalam usaha menjatuhkan Uthaya dan Kavyan. Pada September 2012, Uthaya dikatakan menulis karya yang "ada unsur penyebaran agama Hindu".

Kumpulan cerpen persendirian Uthaya Sankar SB berjudul Orang Dimensi (DBP: 1994), Siru Kambam (DBP: 1996 & 1997), Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997), Surat dari Madras (DBP: 1999), Nayagi (JPMUM: 2000), Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001), Rudra Avatara (USSB: 2008) dan Kathakali (USSB: 2009). Kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam terbit pada Mac 2013. Kumpulan faksyen Pulau Pendatang terbit pada Mei 2015. Seorang macai politik bernama Satees Muniandy serta juak-juaknya membuat kempen mendesak orang ramai memboikot buku Pulau Pendatang dengan alasan buku itu melabel kaum India dan Cina sebagai pendatang.

[Rujuk senarai cerpen DI SINI dan sebahagian sajak DI SINI] .

Uthaya juga menghasilkan novel retorik parodi Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996), novel Panchayat (USSB: 2002), novel Panchayat: Edisi Khas (2012), novel Hanuman: Suara Hati (2013), Koleksi Cerita Ikan (Maselga: 1997), Cerita Rakyat Asia Co-mel (Percetakan Nasional: 1997) serta kumpulan cerita rakyat India bertajuk Nari! Nari! (DBP: 1995 dan 2000) dan Munis dengan Harimau (Fajar Bakti: 1996); selain edisi baharu Nari! Nari! (2015). . Kumpulan cerpen kanak-kanak berjudul Ikan Patin dan Beruang Besar (2017). Beliau turut menyelenggarakan Vanakam (USSB: 2002) iaitu antologi sulung cerpen Bahasa Malaysia penulis kaum India Malaysia. Novel UGUT pula hanya siap 10 bab dan disiarkan secara bersiri di The Malaysian Insider.

Hasil karya Bahasa Malaysia pengarang ini pernah disiarkan - antara lain - dalam majalah Nila, Dakwah, Karya, Dewan Pelajar, e-baca, Dewan Siswa, e@siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Siasah, Sarina, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Dewan Agama dan Falsafah, Minda dan Dewan Sastera serta akhbar Mingguan Malaysia, Metro Ahad dan Mingguan Watan; manakala tulisan Bahasa Inggeris pula di akhbar New Straits Times dan Selangor Times. Karyanya (cerpen dan drama) turut diterjemah untuk disiarkan dalam media cetak dan media elektronik Bahasa Tamil serta media cetak Bahasa Mandarin. .

Novel Panchayat, Ugut dan Hanuman: Suara Hati disiarkan secara bersiri di ruang siber pada 2011. (Sila klik pada judul novel untuk maklumat lanjut.)

Uthaya Sankar SB adalah Pejuang Bahasa Malaysia serta pengasas dan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak Ogos 1999. Uthaya juga pengerusi Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah) sejak Disember 2016. Uthaya bukan ahli mana-mana parti politik dan bukan penyokong mana-mana parti politik; walaupun beliau mempunyai rakan-rakan daripada kalangan ahli parti politik. Blognya boleh dibaca DI SINI manakala akaun Facebook DI SINI dan Twitter DI SINI. [Rujuk - SENARAI PENULIS KAUM INDIA]