Sunday, 7 August 2016

Tidak Mungkin SJKC Ganti SK

Sekolah aliran Cina (SJKC) tidak mungkin menggantikan sekolah kebangsaan (SK) menjadi sekolah arus perdana dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelasnya, fenomena itu mungkin berlaku di SJKC di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak, tetapi tidak di kawasan bandar.

“Seperti di kawasan Parlimen saya di Padang Terap, 50% pelajar sekolah aliran Cina adalah bumiputera. Di luar bandar, Sabah dan Sarawak, sekolah aliran Cina dikuasai pelajar Bumiputera.

“Tetapi, di kawasan bandar tidak ada, SJKC memang didominasi pelajar kaum Cina. Jadi, tidak mungkinlah (ia mengambil tempat sekolah kebangsaan),” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa, hari ini.

Kelmarin, FMT melaporkan kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mendedahkan SJKC berupaya menggantikan SK dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang. [BACA DI SINI]

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan akan memperhalusi kajian itu untuk mengetahui kejadian sebenar sebelum memberi penjelasan kepada orang ramai. [Baca juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]

Sumber: Free Malaysia Today, 7 Ogos 2016

Saturday, 6 August 2016

SK Semakin Melayu, Islam

Kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan mendedahkan sekolah aliran Cina (SJKC) berupaya menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan (SK) dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang.

Dan antara kebimbangan ibu bapa ialah sekolah kerajaan semakin tidak mencerminkan kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

Ahli majlis yang baru sahaja bersara, Prof Teo Kok Seong berkata, peratus pendaftaran baharu pelajar Bukan Melayu bagi SK hanya naik 4% manakala SJKC pula menerima peningkatan sebanyak 18% bagi pelajar Bukan Cina.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat setiap tahun. Kajian kami menunjukkan sekolah vernakular mungkin menjadi sekolah aliran utama dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila lebih ramai ibu bapa Bukan Cina enggan mendaftar anak mereka ke SK,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pilihan utama pendidikan dan sekolah oleh ibu bapa masa kini.
Tambahnya, sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pendidikan 2013-2025 untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke SK mungkin gagal pada 2025.

Ini kerana kajian menunjukkan lebih ramai ibu bapa merancang mendaftarkan anak mereka di sekolah jenis kebangsaan (vernakular) atau swasta.

Kajian yang dijalankan oleh 13 anggota majlis terdiri daripada pendidik, tokoh korporat dan bekas pegawai Jabatan Pendidikan peringkat tertinggi itu turut menyenaraikan lima sebab utama ibu bapa kelas pertengahan dan menengah berpendapatan tinggi enggan memilih SK.

Pertama, kaedah pengajaran dan didikan yang lemah dalam kalangan guru-guru.

Kedua, pentadbiran SK yang didominasi satu kaum.

Ketiga, sekolah dilihat “terlalu Islam”, diikuti [Keempat] isu disiplin sebagai salah satu masalah yang besar dan akhir sekali [Kelima], keadaan sekolah yang tidak diurus dengan baik termasuk menggunakan komputer ketinggalan zaman.

Beliau juga mencadangkan, guru-guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu sahaja dibenar menjadi ketua subjek supaya mereka dapat membimbing guru-guru lain.

“Sebagai contoh, jika seorang guru kaum India mahir dalam Bahasa Inggeris, guru itu perlu menerajui unit tersebut. Tetapi sebaliknya, keutamaan diberikan kepada orang lain yang tidak mampu membimbing orang lain. Begitu juga dengan pengetua sekolah. Ketua sekolah perlulah daripada kalangan yang paling layak untuk menjalankan sebuah sekolah.

“Tidak perlu memberi keutamaan mengikut kaum. Ibu bapa hanya mahukan seorang pendidik yang mampu mengajar dan mendisiplinkan anak-anak mereka. Jika ia boleh dilakukan, kerajaan akan memperoleh semula keyakinan dan menarik lebih ramai pelajar Bukan Melayu ke SK.”

Beliau juga tidak menafikan berlakunya pertembungan antara ibu bapa Islam dan Bukan Islam.

Dalam beberapa forum yang dianjurkan majlis itu, ibu bapa Islam merasakan ajaran Islam tidak mencukupi di SK manakala ibu bapa Bukan Islam tidak selesa dengan amalan bacaan doa semasa perhimpunan.

Teo yang mengajar di UKM berkata, ibu bapa Bukan Islam tidak selesa dengan rakaman audio yang membacakan lagu-lagu agama semasa perhimpunan.

“Rasa tidak senang hati yang berterusan terhadap isu ini menyebabkan ibu bapa Bukan Islam menghantar anak mereka ke SJKC atau ke sekolah swasta. Ia adalah isu sensitif dan seolah-olah tiada pengakhiran.” - Baca juga: Reaksi Menteri Pendidikan ... Baca juga - SK Jadi Lubuk Perkauman? 

Sumber: Free Malaysia Today, 5 Ogos 2016

Wednesday, 16 September 2015

Biodata Teh Hun Yi

Teh Hun Yi dilahirkan di Kepong, Kuala Lumpur. Beliau mula menaruh minat terhadap melukis sejak di bangku sekolah. Pemuda ini terus menimba pengalaman dalam bidang lukisan dengan menjadi penolong kepada ilustrator tempatan terkenal selepas tamat pendidikan sekolah menengah. Kini, Hun Yi menjawat jawatan sebagai ilustrator di Exact Publisher Sdn Bhd dan banyak menghasilkan ilustrasi buku dan majalah serta kulit depan novel, termasuk ilustrasi bagi buku Nari! Nari! (2015).

Sunday, 2 August 2015

Biodata Shanjhey Kumar Perumal

Shanjhey Kumar Perumal merupakan pengarah dan penulis skrin yang bergiat aktif sejak 2014. Pernah menulis/mengarah dan bergiat sebagai penerbit bersama untuk lebih 300 episod untuk stesen televisyen tempatan. Selain itu beliau turut bergiat aktif sebagai penulis skrin, penerbit dan pengarah bebas. Dokumentari kreatif beliau, Thaipoosam pernah ditayangkan di Filem Festival Antarabangsa Rotterdam, Belanda pada 2006. Pada 2009, filem pendek Machai memenangi anugerah utama BMWShorties. Filem pendek Jagat pula memenangi anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tamil, Toronto, Kanada pada 2011. Dokumentari The Day That River Ran Red memenangi Anugerah Juri di FreedomFilm Festival pada 2013. Menerusi syarikat penerbitannya, Skyzen Studios, Shanjhey Kumar Perumal menulis dan mengarah filem sulungnya, Jagat yang bakal ditayangkan di panggung pada penghujung 2015. Beliau membicarakan pengalaman beliau pada JAGAT: Forum Filem Malaysia (16 September 2015).

Tuesday, 7 April 2015

Biodata Venoo Kuppusamy

Venoo Kuppusamy (Dr VK) dilahirkan pada 4 Mei 1984 di Taiping, Perak. Anak kelahiran Perak ini memulakan zaman sekolahnya di Sekolah Rendah Kebangsaan St. George, Taiping (1991-1996) sebelum melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan St. George, Taiping (1997-2001). Keputusan cemerlang dalam UPSR (4A), PMR (7A) dan SPM (9A1) membuatkan Venoo berjaya memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Moscow Medical Academy, Rusia dalam bidang Perubatan.

Pada umur 24 tahun, Venoo memulakan tugas sebagai seorang doktor di Jabatan Perubatan, Hospital Taiping. Kerjayanya sebagai doktor hanya buat tempoh masa yang pendek apabila beliau membuat keputusan untuk beralih ke bidang penyelidikan. Venoo kini bertugas sebagai Penyelaras Penyelidikan di Clinical Research Center, Hospital Taiping.

Venoo merupakan anak ke-4 kepada pasangan Kuppusamy dan Victoria. Beliau mempunyai 3 abang dan seorang adik perempuan. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang dibelenggu kemiskinan, Kuppusamy telah memastikan kesemua anak mendapat peluang pendidikan yang sewajarmya. Sokongan daripada ibu bapa membuatkan Venoo sentiasa cuba mengejar impiannya.

Selain tugas harian, minat Venoo terletak di dunia imaginasi. Membaca novel, menonton filem dam menulis merupakan minat utamanya. Pendedahan awal kepada pelbagai jenis filem dan novel membuatkan Venoo mula menulis bagi meneroka dunia imaginasinya sendiri. Manakala, memasak, menonton sukan dan berjoging menjadi cara bagi merehatkan mindanya.

Novel sulung beliau berjudul Akan Ku Jejaki (2015). Ia ditulis dalam masa 45 hari dengan judul asal Di Ambang Penemuan dan menang hadiah kedua dalam pertandingan Top Novelis Mutiara Minda (2014) anjuran MPH.

Biodata lebih ramai penulis kaum India – SILA KLIK DI SINI

Monday, 17 November 2014

Thanusya Shanmuganathan

Anak jati Selangor dan anak bongsu daripada enam adik-beradik, Meera Natasya atau nama sebenarnya, Thanusya Shanmuganathan, merupakan seorang graduan Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya. Bekas wartawan akhbar ekonomi The Malaysian Reserve ini mula bergiat secara aktif dalam bidang sastera sejak di bangku sekolah rendah lagi. Karya-karya beliau ketika itu hanya dicoretkan untuk tatapan rakan-rakan sekelas.

Pertama kali beliau membaca novel Melayu adalah ketika menuntut di Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya. Novel pertama yang dibacanya ialah novel yang menjadi novel wajib Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Empat, Bukit Kepong, novel sejarah nukilan Ismail Johari. Dari sana, beliau diperkenalkan dengan novel berunsur cinta melalui novel KOMSAS Tingkatan Lima, Konserto Terakhir nukilan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Minat beliau terhadap sastera mula berkembang dan beliau giat menghasilkan novel berantai dan skrip untuk bacaan kawan-kawannya. Berkat sokongan kawan-kawan, beliau serius menimba ilmu dalam bidang penulisan ketika menjadi pelajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Beliau mula mengumpul dan membaca novel Melayu dan kini sudah mempunyai lebih 200 buah novel dalam koleksinya.

Setelah tamat belajar di Universiti Malaya, beliau mencuba pelbagai pekerjaan yang semuanya tergolong dalam bidang media, dengan tujuan mencari pengalaman. Namun, minatnya terhadap sastera semakin membara dalam hati. Beliau mula menghadiri bengkel penulisan dan menjadi ahli aktif dalam kumpulan Mari Menulis di Facebook. Grup yang diasaskan oleh beberapa penulis senior dalam bidang penulisan tanah air itu menjadi sumber rujukan buat Thanusya kerana setiap hari, beliau didedahkan dengan ilmu baru mengenai penulisan dan penghasilan karya yang bermutu.

Sedikit demi sedikit, beliau mula menulis dan karya-karya beliau mula disiarkan dalam blog Wordpress milik beliau untuk tatapan kawan-kawan di laman Facebook. Pada awal penulisan, genre yang menjadi fokus adalah genre cinta. Namun, setelah banyak membaca dan menganalisis karya penulis-penulis lain, beliau mula menghasilkan karya yang lain daripada yang lain.

Dengan itu, maka terhasillah karya sulung beliau, Tak Sengaja Cinta (Penerbitan Fajar Pakeer: Oktober 2014). Novel tersebut berkisar mengenai watak Sanjana yang diburu seorang lelaki yang obses terhadap dirinya. Novel itu bukan sahaja sebuah cerita, tetapi sebuah kitab yang menyentuh mengenai adat dan budaya masyarakat Hindu di Malaysia. Inilah matlamat utama beliau menulis novel Melayu. Beliau ingin memperkenalkan kepada pembaca pelbagai kaum mengenai adat dan budaya masyarakat India. Menurut beliau, karya-karya yang menyentuh mengenai unsur budaya India tidak begitu menyerlah di Malaysia. Beliau berjanji untuk terus menghasilkan karya yang menitipkan mesej-mesej yang bermanfaat kepada pembaca.

Thanusya bukan sahaja menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, tetapi juga dalam Bahasa Inggeris, yang boleh dibaca dalam blog beliau. Kebanyakan sajak nukilannya menyentuh mengenai kehidupan seharian beliau, termasuklah cinta, persahabatan, dan keluarga.

Beliau kini seorang pelajar separuh masa program Sarjana Pengajian Penerbitan di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, di samping bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di Kedai Buku MPH. Beliau tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya dan berhasrat menjadi seorang penulis berkualiti kelak.


* Maklumat yang terkandung dalam biodata ini dikirimkan oleh penulis pada 16 November 2014 untuk tujuan dokumentasi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). [Rujukan lanjut: BIODATA SASTERAWAN KAVYAN]

Monday, 10 November 2014

Ramakrishnan Ramasamy

Ramakrishnan a/l Ramasamy dilahirkan pada 12 Julai 1978 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Klang dan Sekolah Menengah Raja Mahadi, Klang, Selangor Darul Ehsan. Pemuda ini memiliki diploma dalam bidang Senireka Komputer Grafik dari Kolej Cosmopoint Institute of Technology Klang, Selangor Darul Ehsan. Beliau turut memperoleh Diploma Keusahawanan, Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya, Kuala-Lumpur.

Ramakrishnan mula berjinak dalam bidang penulisan semasa di sekolah menengah dengan menulis puisi semasa di Tingkatan 4. Semasa di Tingkatan 5, sajak berjudul “Kesenian Yang Tersorok” tersiar dalam majalah Dewan Siswa. Seterusnya pada tahun 1997, beliau mengikuti program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara sajak yang sudah tersiar dalam penerbitan:

1. Kesenian Yang tersorok, Dewan Siswa, 1995.
2. Permata Yang Hilang, Dewan Siswa, 1996.
3. Bernafas Dalam Lumpur, Karya, 1997.
4. Kuning, Sebuah Hati di Cheng Du, DBP:1997.
5. Taman Permata (Untuk sahabatku), Sebuah Hati di Cheng Du, DBP: 1997.
6. Antara Dua Budaya, Berita Harian, 1999.
7. Suatu Hari di Perpustakaan Negara, Kavya, 1999.
8. Masa, Kavya, 2000.
9. Usia, Kavya, 2000.
10. Terindah, Tunas Cipta, 2012.

Nota: Biodata ini diterima daripada penulis pada 10 November 2014. Ramakrishnan juga terlibat dalam mesyuarat penubuhan Kavyan pada 22 Ogos 1999. [BIODATA PENULIS KAUM INDIA]